Shahiezy Sam bersama Ayda Jebat dan Farid Kamil yang turut menjayakan Pinjamkan Hatiku

KUALA LUMPUR – Pelakon yang pernah menggenggam Anugerah Bintang Paling Popular, Shahiezy Sam berasa tidak mampu lagi mengubah fizikalnya demi tuntutan watak dalam lakonan.

Ujarnya pengorbanan yang dilakukan selama ini adalah kerana minatnya yang mendalam terhadap seni lakonan.

“Orang selalu perlekehkan pelakon Malaysia tidak sanggup taruh usaha untuk menghidupkan watak. Jadi Sam buktikan yang kita boleh buat.

“Tetapi Sam percaya kenapa pelakon lain tak mampu nak buat. Bukan kerana mental tidak kuat tetapi kerana apa yang disediakan oleh produksi tidak setimpal,” jelas Sam.

Dalam pada itu Sam berharap agar pihak produksi dapat membayar pada harga setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan artis sepertinya.

Malahan dia meminta produksi juga memberi tempoh masa yang sesuai untuk pelakon melakukan hal sedemikian.

Sam pernah menambahkan otot pada badannya bagi menjayakan filem Polis Evo.

Kini dia melakukan perubahan pada fizikalnya sekali lagi bagi filem Pinjamkan Hatiku.

Menerusi filem ini Sam menurun berat badannya sebanyak lapan kilogram sepanjang pengambaran bagi memenuhi keperluan perubahan fizikal.

Untuk tujuan itu, Sam memberitahu dia cuma makan sayur dan buah serta protein sekali sekala.

Selain itu dia berlari selama sejam setiap malam.

Pelakon itu menjelaskan dia tidak merujuk kepada mana-mana pakar nutrisi, sebaliknya mengambil risiko sendiri bagi menjayakan watak dalam filem arahan Osman Ali itu.

Filem itu turut dijayakan pelakon Farid Kamil dan Ayda Jebat.

Dalam perkembangan lain Sam memberitahu dia akan turun ke lokasi untuk sekuel filem Polis Evo bulan hadapan.

Dia tidak sabar untuk beraksi kerana proses pra produksi telah dilakukan sejak bulan November tahun lepas. – Malaysia Gazette