Home Ekonomi Golongan memerlukan kekal diberi perhatian dalam Bajet 2018

Golongan memerlukan kekal diberi perhatian dalam Bajet 2018

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,837 idea dan cadangan telah diterima oleh Perdana Menteri sepanjang kempen crowdsourcing #Bajet2018 yang telah berlangsung selama 15 hari, daripada 4 September hingga 18 September lepas.

Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan penelitian awal, isu pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, pencukaian, perniagaan dan kewangan serta pengangkutan dan infrastruktur merupakan topik-topik yang menjadi keutamaan rakyat pada hari ini.

Menurutnya, ramai yang meminta pelepasan cukai bagi membantu menangani kos sara hidup golongan berpendapatan tengah, daripada peningkatan pelepasan cukai untuk aktiviti sukan kepada pelepasan cukai untuk penyelenggaraan kenderaan persendirian.

Najib berkata, sejak GST diperkenalkan pada tahun 2015, kerajaan telah menurunkan kadar cukai pendapatan individu sebanyak 1 hingga 3 mata peratusan yang memanfaatkan 300 ribu orang apabila mereka tidak perlu lagi membayar cukai.

Golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan juga tidak lagi mempunyai tanggungan cukai dan kadar cukai maksimum 26 peratus pula dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus.

“Saya juga banyak mengumumkan pelepasan cukai dalam Bajet 2016, contohnya pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM1,500 untuk ibu dan RM1,500 untuk bapa bagi anak-anak yang menyara kedua ibu bapa serta kenaikan had pelepasan cukai daripada RM6,000 kepada RM8,000 bagi setiap anak berumur 18 tahun yang sedang melanjutkan pelajaran.

“Selain itu, dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pula, saya telah mengumumkan pelepasan cukai khas sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah.

“Untuk Bajet 2017 pula, kerajaan telah mengumumkan pelepasan cukai gaya hidup sehingga RM2,500 setiap tahun bagi pembelian antaranya, bahan bacaan, komputer, smartphone, peralatan sukan serta keahlian gimnasium,” katanya dalam blog beliau hari ini.

Semua itu adalah antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan tengah, bagi memastikan nasib mereka terus terbela.

Najib berkata, Bajet 2018 yang bakal dibentangkan akan terus membantu golongan yang memerlukan dan pada masa yang sama inklusif serta holistik terhadap keperluan semua.

“Insya-Allah, semua cadangan yang telah diterima akan diteliti dan dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan kerana ini adalah satu langkah yang tepat ke arah mendemokrasikan proses pembentukan bajet negara, satu dokumen yang bakal memberi impak yang besar kepada hala tuju negara,” katanya. – MalaysiaGazette