ANGGOTA polis memeriksa serpihan cermin kenderaan yang dipercayai dinaiki tiga lelaki yang bertindak merompak 10 kilogram emas di hadapan syarikat memproses emas di Buttetworth, Pulau Pinang pagi ini.

BUTTERWORTH – Sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan tukul dan kapak bertindak nekad menyerang dua pekerja syarikat memproses emas di Jalan Siram di sini dan melarikan sejumlah emas yang dianggarkan seberat 10 kilogram.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, dua lelaki yang memakai penutup mulut dan topi menyerbu dua pekerja syarikat terbabit yang sedang membawa beg berisi emas untuk dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Difahamkan, perompak berkenaan menunggu di hadapan syarikat berkenaan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lagi lelaki sebelum bertindak menyerang dan melarikan emas yang dianggarkan bernilai RM2 juta tersebut.

Dalam pada itu, sumber polis memberitahu, emas yang telah diproses dan diletakkkan di dalam dua buah beg itu dipercayai untuk dihantar ke kedai emas di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika pekerja terbabit mahu memasukkan emas itu ke dalam kereta, dua lelaki secara tiba-tiba menyerbu mereka dengan bersenjatakan tukul dan kapak.

“Kejadian itu menyebabkan berlaku kekecohan yang didengari pengawal keselamatan syarikat terbabit yang bertindak melepaskan sekurang-kurangnya tiga das tembakan ke arah kereta suspek.

“Tembakan itu dipercayai terkena cermin kereta yang dinaiki suspek dan polis kini masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Abd. Aziz Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes berkenaan disiasat Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette