KUALA LUMPUR – Infrastruktur siber jalur lebar berkelajuan tinggi 100 Gigabit sesaat (Gbps) Malaysian Research and Education Network (MYREN-X) mampu memacu kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan masa depan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, infrastruktur siber MYREN-X itu bakal melonjakkan kapasiti capaian keseluruhan daripada 260 Gbps kepada 3,200 Gbps atau 3.2 Terabits sesaat dan meningkatkan keupayaan penyimpanan data berskala besar serta keupayaan pemprosesan berkeupayaan tinggi.

“”Saya yakin MYREN-X bukan saja akan mempunyai infrastruktur siber yang moden serta serba canggih, bahkan dapat mewujudkan satu ekosistem penyelidikan dan pendidikan yang semakin meluas serta bercitra baharu, seterusnya berupaya menyumbang kepada negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran MYREN-X di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib berkata, MYREN-X dijangka dapat memacu kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan masa depan negara melalui kolaborasi dengan penyelidik seluruh dunia sebagai usaha untuk menghasilkan saintis negara bertaraf Nobel Laureate.

Katanya, MYREN-X bakal mentransformasikan Pendidikan Tinggi Negara bercirikan Pendidikan Abad Ke-21 serta bercirikan UBIQUITOUS yakni pembelajaran bersifat di mana saja dan pada bila-bila masa yang mampu melahirkan sumber tenaga kerja yang kompetitif dan memenuhi keperluan pekerjaan masa depan.

Beliau menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas inisiatif penubuhan sebuah konsortium terdiri daripada semua 20 UA dinamakan MYREN Network Sdn Bhd (MNSB) diterajui Universiti Teknologi MARA menerusi UiTM Holdings Sdn Bhd berlandaskan semangat kesepakatan dan kekitaan.

Inisiatif MYREN-X akan melengkapkan infrastruktur siber negara khusus bagi menyokong Lonjakan Ke-7 (Ekosistem Inovasi) dan Lonjakan Ke-9 (Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

MYREN-X akan melonjak pelaksanaan program Massive Open Online Courses (MOOC), JukeBox, Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA), 2 years University-2 years Industry (2u2i) yang dilaksanakan di negara ini di bawah inisiatif ‘Redesigning Higher Education’.

MYREN-X bukan saja akan membolehkan rakyat Malaysia mengakses pendidikan di luar negara secara dalam talian, bahkan membolehkan rakyat luar negara mengakses pendidikan di negara ini. – MalaysiaGazette