Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju sebagaimana digariskan dalam Wawasan 2020 akan hanya menjadi angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Demikian ulas Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang turut menyifatkan negara tidak berupaya menambah peruntukan untuk pembangunan kalau ia hanya kekal pada kadar RM46 bilion.

Menurut beliau, jika semua anggaran hasil negara pada tahun 2018 sebanyak RM239.9 bilion digunakan untuk membiayai kos perbelanjaan operasi sebanyak RM234.3 bilion, ini bermakna 88 peratus kos pembangunan iaitu RM40.4 bilion perlu ditampung melalui pinjaman.

“Bajet 2018 memperlihatkan peruntukan bagi perbelanjaan operasi meningkat RM234.3 bilion daripada RM214.8 bilion di tahun 2017, iaitu penambahan perbelanjaan sebanyak sembilan peratus.

“Ini setara dengan jangkaan peningkatan hasil negara di tahun 2018, di mana ia dianggarkan meningkat sembilan peratus daripada RM219.7 bilion tahun 2017 kepada RM239.9 bilion pada 2018,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dengan komitmen kos operasi setinggi itu, menurut Tuan Ibrahim, jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), nescaya kadar sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terpaksa dinaikkan sekiranya negara memerlukan dana untuk pembangunan.

Beliau juga menyatakan, Bajet 2017 yang bertemakan “Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh” sebagaimana dibentangkan Najib tahun lalu, gagal apabila jumlah BR1M yang diperuntukan pada kadar sama.

“Ini bermakna jumlah rakyat yang masih memerlukan bantuan kekal sama dan cara pengurusan BN tidak berjaya mensejahterakan rakyat.

“Sekiranya negara semakin makmur, sepatutnya jumlah keluarga atau individu yang layak menerima BR1M akan berkurangan kerana pendapatan mereka bertambah.

“Tetapi, pengekalan peruntukan BR1M menandakan kegagalan kerajaan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, pengurangan cukai berpendapatan individu pemastautin untuk 2.3 juta pembayar cukai terutama bagi golongan M40 atau lebih tepat pendapatan isi rumah di bawah RM9,000 sebulan adalah pengakuan tidak rasmi kerajaan bahawa polisi ekonomi kini bukan sahaja menyempitkan kewangan golongan berpendapatan rendah, malah menyebabkan golongan pertengahan juga bergelut dengan kenaikan kos kehidupan.

“Golongan pertengahan ini terpaksa dibantu agar mereka boleh meningkatkan pendapatan boleh guna melalui pengurangan cukai ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette