KUALA LUMPUR- Belum jodoh lagi. Nampaknya impian menyaksikan pelakon dan penerbit Datuk Hans Isaac untuk menamatkan zaman bujangnya belum lagi terlaksana.

Pengumuman pembatalan perkahwinan itu dibuat Hans menerusi laman instagramnya.

Ekoran pengumuman itu, pelbagai komen diterima Hans.

Kebanyakan peminat berkongsi kesedihan dengan pelakon berusia 46 tahun itu sambil berharap agar dia terus tabah.

Antara rakan artis yang turut meninggalkan komen termasuklah Sofea Jane, Datuk Ziela Jalil, Chew Kin Wah, Sarimah Ibrahim, Catriona Ross, Datuk Afdlin Shauki serta bekas pemain bola sepak kebangsaan Abbas Saad.

“Keputusan untuk membatalkan rancangan perkahwinan ini tidak mudah dan dibuat setelah berfikir panjang susulan daripada pertunangan itu,” jelas Hans dalam Instagramnya.

Dalam kenyataan itu, pelakon filem Ringgit Kasorga serta Persona Non Grata itu turut memohon maaf kepada rakan dan keluarga yang telah memberikan sokongan yang tak terhingga serta mendoakan terbaik untuknya.

Hans yang bertunang dengan Gabrielle Robinson pada 29 Januari lalu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 29 Julai.

Terdahulu krisis kedua pasangan itu dikesan peminat setelah kedua mereka saling memadam gambar pasangan di laman Instagram masing-masing.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan