Walaupun berkaki palsu dan bertongkat, Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi berjaya membuktikan semangat luar biasa Orang Kurang Upaya (OKU).

KUALA LUMPUR – Kekurangan fizikal dialami sejak lima tahun lalu tidak menghalang pendaki Orang Kurang Upaya (OKU), Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi, 24, berjaya menawan Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal, baru-baru ini.

Apatah lagi pemuda kelahiran Melaka ini mula meminati aktiviti pendakian ketika bergelar OKU dan bukannya sebagai manusia normal.

Mana gunung yang tidak ditawannya, Gunung Kinabalu, Gunung Datuk, Pine Tree Hill, Gunung Datuk, Gunung Besar Hantu selain Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia sudah menjadi ‘taman permainan’ Muhamed Nazmi yang mesra disapa Nazmi atau Nami.

Nazmi kehilangan kaki kiri hingga paras betis akibat kemalangan kira-kira lima tahun lalu ketika menunggang motosikal.

Gara-gara kejadian tersebut, kakitangan swasta itu terlantar selama dua bulan di hospital dan terpaksa menjalani pembedahan sebanyak tujuh kali termasuk suntikan tulang belakang.

Namun Nazmi yang kini menggunakan kaki palsu langsung tidak pernah patah semangat untuk mencuba aktiviti pendakian yang menjadi hobi baru sejak dua tahun lalu.

Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi menerima sijil penghargaan kerana menawan Annapurna Base Camp, Nepal.

Penulis yang mengikuti pendakian ke ABC bersama Nazmi dapat melihat sendiri kegigihan OKU ini yang cukup luar biasa semangatnya.

Pendakian hari pertama yang cukup mencabar mental dan fizikal gara-gara perlu mendaki ribuan tangga yang mencanak hampir menewaskan semangat tinggi Nazmi.

Dengan pendakian berlanjutan ke waktu malam dan menaiki tangga dalam keadaan gelap, Nazmi beberapa kali berhenti dan mengeluh kesakitan pinggang amat sangat yang dialaminya.

Sempat dia melunjurkan kaki di atas tangga bagi menghilangkan kesakitan tersebut. Namun Nazmi membuktikan semangat luar biasa apabila mampu sampai di ABC antara 10 peserta terawal di kalangan 30 peserta yang terlibat.

“Untuk pendakian kali ini, saya mengakui pergerakan agak terbatas, namun Alhamdulilah saya berjaya melakukan yang terbaik dan sampai ke ABC.

“Kita tidak akan tahu tahap kebolehan diri sendiri sekiranya enggan mencuba. Apatah lagi untuk sampai ke ABC, keadaan cuaca yang berubah-ubah cukup menguji kesabaran saya dan peserta lain,” katanya.

Penulis bersama Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi.

Kejayaan Nazmi itu mendapat perhatian Malaysia Book Of Record dan bakal dinobatkan sebagai OKU Malaysia pertama yang menawan ABC.

Sementara itu, selain Nazmi, seramai 29 pendaki dari Pertubuhan Nadi Sihat menyertai ekspedisi menawan ABC pada ketinggian 4,130 meter menerusi program ‘Road to Annapurna Base Camp’ (R2ABC) bermula 20 Oktober hingga 2 November lalu.

Peserta yang berusia 24 hingga 57 tahun itu diketuai Ketua Kontijen R2ABC, Mohd. Faizal Shamsudin merangkap ketua misi dan mereka tiba di kem berkenaan pada 25 Oktober lalu selepas tiga hari mendaki bermula seawal pagi hingga ke malam.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Nadi Sihat Datuk Ismail Kijo berkata, R2ABC akan menjadi aktiviti tahunan pertubuhan itu dalam membantu kerajaan mempromosikan gaya hidup sihat.

“Kita juga melaksanakan pelbagai program sihat seperti senaman, berbasikal serta pendakian gunung yang menjadi aktiviti wajib pertubuhan ini dan setakat ini, sudah tiga kali aktiviti mendaki Gunung Kinabalu diadakan.

“Justeru R2ABC akan menjadi aktiviti tahunan selepas ini dalam mencabar rakyat Malaysia menakluk gunung di luar negara pula,” katanya.

Ismail turut memberitahu, Nadi sihat juga merancang untuk mengadakan Road to Everest Base Camp pada tahun 2019 selain menganjurkan pelbagai aktiviti lain dalam masa terdekat.

“Selepas ini, Nadi Sihat akan terlibat dengan penganjuran    Konvension Nasional Gejala Buli pada 15 hingga 17 Disember ini, Night Run@KB Ambang 2017 dan  Golf Amal Nadisihat  pada awal tahun depan.

“Selain itu, Nadi sihat juga sedang mengadakan perbincangan dengan universiti awam bagi menubuhkan dan melancarkan Kelab Nadi Sihat 1Malaysia di semua pusat pengajian tahun tinggi pada tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan