Naib Presiden Pas, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Idris Ahmad mendakwa gambar pemimpin parti Islam itu yang disebarkan bersama-sama dengan pemimpin UMNO bertujuan menimbulkan kemarahan pengundi kaum Cina kepada mereka.

Idris berkata, langkah terdesak itu dibuat oleh musuh Pas supaya pengundi Cina menolak mereka dalam pilihan raya umum nanti.

“Oleh itu musuh Pas membuat fitnah kononnya Pas bersama UMNO.

“Gambar pemimpin Pas bersama dengan pemimpin UMNO disebar dalam masyarakat Cina. Ini yang menyebabkan orang Cina marah kepada Pas,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Idris, isu tersebut tidak perlu dipolemikkan walhal terdapat pemimpin DAP juga yang mempunyai gambar duduk bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) tapi tidak dituduh pula mereka akan menyertai parti kerajaan itu.

“Apabila kita tunjuk gambar pemimpin DAP bersama dengan pemimpin UMNO, mereka terkejut. Tapi kita tidak katalah pemimpin DAP mahu masuk BN,” ujarnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan sikap tidak adil sesetengah pihak yang hanya mahu membuat fitnah kepada Pas hanya kerana berlaku perjumpaan dengan pemimpin kerajaan.

“Bukan setakat gambar berlaga pipi malahan berlaga perut pun ada.

“Oh akan adalah cyber trooper mereka akan bela, ini gambar kerajaan dengan kerajaan. Kalau pemimpin Pas tak boleh, kalau mereka boleh. Walau pun pemimpin Pas hadir program kerajaan tetap juga dikatakan Pas bersama UMNO,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Idris menggesa supaya penyokong parti mengabaikan serangan tersebut dan tidak membuang masa melayan kumpulan itu.

“Biarlah dengan mereka. Teruskan buat kerja. Tidak perlu habis masa melayan golongan ini. Banyak lagi kerja kita,” katanya. – MalaysiaGazette