Jurucakap Kumpulan Bekas dan Ahli DAP, Pannerselvam G.Letchumanan (tengah) menunjukkan surat bantahan selepas menyerahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Selangor di Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor. foto NIZAM ZAIN, 21 NOVEMBER 2017

SHAH ALAM – Sekumpulan bekas dan ahli DAP hari ini membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Selangor kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP baru-baru ini.

Jurucakapnya, Pannerselvam G. Letchumanan mendakwa pemilihan itu dijalankan secara tidak adil dan telus susulan wujudnya penipuan pada kertas undi dan kaedah pengiraan yang mencurigakan.

“Kami mengesyaki kertas undi yang terpilih mesti dicetuskan, dimanipulasi dan kertas undi diubah dalam bilik pengiraan yang dibuat secara tertutup.

“Calon dan ejen calon tidak dibenarkan masuk dalam proses pengiraan undi dilakukan secara tertutup itu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat bantahan kepada RoS Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao; Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina PMSP, Tony Tan Chee Chong; dan beberapa bekas ahli DAP iaitu Yap Kwan Meng dan G. Asogan.

Pada 12 November lalu, pemilihan semula CEC DAP dijalankan di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC) di sini berikutan dakwaan wujud penyelewengan dari segi kesilapan pengiraan undi pada pemilihan yang dilakukan [ada 15 Disember 2012.

Selain itu, DAP juga sebelum ini didakwa gagal memberikan notis yang secukupnya kepada 753 perwakilan sah dan layak mengundi.

Pannerselvam juga mencurigai pengiraan kertas undi yang dilakukan oleh beberapa kakitangan sama ada mereka mewakili firma audit, Grand Thornton atau sebaliknya.

“Kami syak mereka adalah ahli DAP yang menyamar sebagai kakitangan Grand Thornton,” dakwanya.

Katanya, mereka tidak bersetuju dengan pengiraan kertas undi DAP yang mudah tercicir, dimanipulasi dan diubah.

“Jika anda layak mengundi, perwakilan kena tulis nombor calon sahaja, jika ahli tulis 1,2,3,4,5,6,7,8,9, semua nombor ini boleh diubah dengan nombor lain seperti 10,11,12 dan nombor 2 boleh diubah kepada 12, 21,22,23,32,52, dan 62,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.