Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan anggota TUDM pada Lawatan Kerja Menteri Pertahanan dan Kesiagaan Pesawat TUDM di Institut Perubatan Penerbangan (IPP), Pangkalan Udara Subang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 JANUARI 2018

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima layanan baik dari kerajaan Arab Saudi dan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Arab Saudi atas jemputan Raja Salman memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pertahanan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

“Saya baru dapat panggilan dari Perdana Menteri, selain dari perjalanan mengerjakan umrah, beliau telah menyatakan kepada saya bahawa layanan Raja Salman cukup baik.

“Dan ada kemungkinan besar Putra Mahkota Arab Saudi, Pangeran Mohammed Salman sendiri akan datang ke Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita pada program Lawatan Kerja ke Institut Perubatan Penerbangan (IPP) Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan anggota TUDM pada Lawatan Kerja Menteri Pertahanan dan Kesiagaan Pesawat TUDM di Institut Perubatan Penerbangan (IPP), Pangkalan Udara Subang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 JANUARI 2018

Hishammuddin bagaimanapun, tidak menyatakan secara terperinci mengenai perbualannya dengan Najib serta jadual lawatan kerabat Arab Saudi itu ke Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi akan membincangkan mengenai aset negara termasuk perkongsian risikan dan penelitian landskap yang tidak menentu ketika ini.

“Kita akan kongsi bersama bagaimana untuk memperkukuhkan lagi perkara ini termasuk diplomasi pertahanan serta banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette