Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Sekumpulan peneroka tanah di Ijok mendakwa janji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberi sebuah rumah tidak sama seperti yang akan dibina pemaju kepada peneroka.

Mohamed Azmin Ali

Seorang wakil peneroka, Mohd Fadzil Ibrahim berkata perjanjian asal untuk membina rumah kepada peneroka berbeza dengan apa yang dijanjikan kepada mereka, ia termasuk harga rumah RM200,000 dan saiz rumah yang lebih kecil daripada perjanjian asal pada tahun 2000.

“Saya difahamkan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) beritahu harga rumah yang akan diberikan bernilai RM400,000 tetapi pemaju beritahu harga lain pula.

“Mengikut perjanjian asal rumah berkembar yang akan diberikan mempunyai tiga bilik di tingkat atas dan satu bilik di bawah, tetapi perjanjian baharu menunjukkan rumah itu hanya tiga bilik,” beliau dipetik berkata hari ini.

Mohd Fadzil berkata, susulan itu sebahagian daripada 981 peneroka enggan bertemu dengan pemaju pada 12 Februari lalu bagi menandatangani perjanjian baharu.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan jumlah pampasan yang sedikit diberikan kepada peneroka walhal pemaju menerima pampasan yang lebih tinggi.

“Jadi, dengan harga tanah ini bernilai RM1.18 bilion, adalah wajar kami diberikan pampasan lebih banyak berbanding hanya RM421.4juta.

“Sepatutnya harga pampasan bagi 0.4 hektar tanah sekurang-kurangnya RM500,000. Kami bukan tamak, tetapi kami tuntut hak kami. Pemaju kaut untung beratus juta, tetapi bagaimana nasib saya dan masa depan keluarga saya,” katanya.

Isu tanah Ijok menjadi tumpuan selepas, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan soal pembayaran tanah bernilai RM1.18 bilion di Ijok kepada dua syarikat sebelum kes didengar di Mahkamah Persekutuan.

Dua syarikat itu ialah Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCDN Develoment Sdn Bhd.

Soalnya, apa justifikasi Azmin menyerahkan tanah itu walaupun keputusan mahkamah rayuan memihak kepada Khalid dan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette