Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir akan mengumumkan manifesto pakatan di Shah Alam, esok.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menawarkan sekurang-kurangnya 60 janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal diumumkan esok, dalam usahanya untuk mengambil alih kuasa pemerintahan kerajaan daripada Barisan Nasional (BN).

Manifesto setebal 138 muka surat itu turut menawarkan 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan PH jika menang.

Sepuluh janji itu ialah menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat, dan menstabilkan harga minyak serta memperkenalkan semua subsidi petrol secara bersasar.

Janji ketiga ialah menghapuskan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, di samping memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Untuk janji kelima, kerajaan PH hendak menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum, manakala janji keenam ialah menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan serta memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Manifesto itu turut menyatakan janjinya untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja isu 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji serta merombak semula struktur kepimpinan mereka.

Selain itu, PH mahu menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963, dan memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.

Terakhir, dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya, PH menjanjikan untuk melancarkan kajian terperinci mengenai projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Baki 50 janji lagi yang tersenarai dalam manifesto itu tidak dinyatakan tempoh pelaksanaannya, termasuk janji mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri.

Turut terkandung dalam manifesto itu ialah lima teras mengenai iltizam kerajaan PH khusus untuk rakyat pelbagai kaum dan peringkat usia iaitu untuk warga Felda, masyarakat India, wanita, anak muda dan warga emas. – MalaysiaGazette