Home Utama PAC cadang had sekatan perjalanan LHDN dinaikkan

PAC cadang had sekatan perjalanan LHDN dinaikkan

Hasan Arifin

KUALA LUMPUR – Sekatan perjalanan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  bagi had tunggakan cukai tidak melebihi RM2,000 kurang sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta kerajaan supaya mengkaji semula had tunggakan cukai agar dinaikkan kepada RM10,000 untuk pembayar cukai individu dan RM50,000 bagi syarikat.

Perkara itu diputuskan selepas pembentangan Laporan PAC berhubungcPengurusan Sekatan Perjalanan Ke Luar Negara di bawah Kementerian Kewangan (MoF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, sebelum sekatan dikenakan, LHDN perlu memastikan notis tunggakan cukai disampaikan kepada individu/syarikat mengikut undang-undang seperti yang diamalkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Sistem penyampaian LHDN perlu dinaiktaraf dengan menggunakan teknologi baru seperti sistem pesanan khidmat ringkas (SMS)/Whatsapps/Emel dalam menyampaikan peringatan notis tunggakan cukai atau sekatan perjalanan ke luar negara.

“LHDN dan Jabatan Imigresen perlu memastikan pangkalan data mereka sentiasa dikemas kini supaya tidak berlaku kes pembayar cukai yang telah menjelaskan tunggakan cukai tetapi masih
mengalami masalah semasa hendak ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette