Ahmad Bashah Md. Hanipah

ALOR SETAR – Barisan Nasional (BN) mahu individu yang tidak terpilih untuk menjadi calon PRU-14 tidak mensabotaj parti dan menerima keputusan dengan hati terbuka, kata Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Pengerusi BN Kedah itu sudah menemui beberapa individu yang tidak tercalon untuk bertanding kali ini dan berbincang dengan mereka bagi menyelesaikan perkara berbangkit.

“Kami sudah berjumpa dengan beberapa orang yang tidak tercalon dalam senarai akhir, kami cuba menyelesaikan isu yang mungkin timbul sebelum penamaan calon.

“Kami akan duduk berbincang dengan mereka bagi mengelak sebarang masalah kemudiaan hari,” kata beliau yang juga Menteri Besar Kedah semasa sidang media bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) hari ini.

Ahmad Bashah turut mengingatkan perkara lebih penting dan utama adalah memastikan kemenangan BN.

“Sebelum ini orang tolong calon itu menang, jadi kali ini giliran tolong orang yang jadi calon untuk menang pula… itu sepatutnya yang dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan kemungkinan ada unsur sabotaj berpunca daripada pengguguran nama sebagai calon.- MalaysiaGazette