Mahathir membayangkan hasratnya untuk menunaikan janji menghapuskan GST.
Mahathir membayangkan hasratnya untuk menunaikan janji menghapuskan GST.

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) akan memberikan cuti umum sebanyak dua hari sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, oleh kerana hari mengundi ditetapkan pada 9 Mei (Rabu) telah diisytiharkan sebagai cuti umum, rakyat Malaysia diberikan cuti tambahan pada 10 hingga 11 Mei ini sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan.

“Apabila PH mendirikan Kerajaan Persekutuan, kita akan memberi cuti pada hari Khamis dan Jumaat. Rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan mendapat empat hari cuti termasuk Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Saya ini orang yang tak suka cuti, tapi saya sedar orang lain suka cuti. Negara kita ini terlalu banyak cuti tapi ini kali sahaja lah (beri cuti),” katanya berucap pada Taklimat Calon-Calon PH di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Taklimat Calon-calon Pakatan Harapan PRU-14 di Dewan Auditorium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2018.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mahathir juga berkata, calon-calon PH yang memenangi kerusi yang ditandingi perlu bekerja keras untuk membentuk kerajaan walaupun dua hari berkenaan diumumkan sebagai cuti umum.

“Kita perlu mendapat pengesahan daripada Yang Di-Pertuan Agong bahawa kita sudah menang dan kita mesti dipilih sebagai Perdana Menteri dan bersama Timbalan Perdana Menteri mesti pilih kabinetnya.

“Bermakna kita kena berkerja keras dan kita tak mahu tunggu lama-lama, kita nak cepatkan proses ini,” katanya lagi.

Mahathir juga menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari Rabu sebagai hari pembuangan undi adalah cubaan untuk menghalang pakatan pembangkang itu mendapat jumlah undi besar yang besar.

Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Mahathir Mohamad hadir pada Majlis Taklimat Calon-calon Pakatan Harapan PRU-14 di Dewan Auditorium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2018.

“Kita minta pengundi-pengundi supaya ponteng kerja. Apa yang kita lakukan ini akan memberi kesan kepada seluruh negara.

“Sekarang ini mereka sedar mungkin juga yang akan menyokong mereka (BN) juga tak dapat keluar (mengundi)

“Sebab itu mereka sekarang ini memberi cuti pada hari Rabu sebagai cuti umum dan kita semua boleh keluar Rabu walaupun mungkin kita bekerja di Singapura terpaksa balik dan ponteng kerja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette