Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat apabila mengeluarkan kenyataan berhubung isu pakaian pramugari negara ini yang seksi dan tidak sesuai dengan imej Malaysia sebagai negara Islam.

Jawapan beliau yang menyarankan Ahli Parlimen jangan memandang anak kapal yang berpakaian seksi membuatkan beberapa ahli pembangkang bangun meluahkan rasa tidak puas hati.

“Kalau pakaian pramugari seksi, jangan pandang mereka,” jawabnya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anthony berkata demikian bagi menjawab soalan Siti Zailah Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang mendesak beliau apabila ingin mengetahui sampai bilakah isu pakaian pramugari Malaysia yang  seksi akan selesai.

Ahli Parlimen Seremban sebelum itu memberi jawapan bahawa setiap syarikat penerbangan bebas memilih pakaian korporat masing-masing, selagi mampu menjalankan tugas dengan baik.

“Kerajaan berpendapat pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines Berhad (MAB) iaitu berkebaya menepati imej Malaysia.

“Namun, kita tidak menghalang sekiranya terdapat cadangan pakaian seragam baru yang menepati Syariah Islam,” katanya dalam sesi penggulungan.

Namun beliau terus didesak oleh Siti Zailah yang masih tidak berpuas hati selepas Menteri Pengangkutan itu terus memberi jawapan yang sama.

Beberapa Ahli Pembangkang lain yang turut mengasak Anthony menyebabkan beliau mengambil jalan mudah dengan memberi jawapan agar jangan memandangkan pramugari yang berpakaian seksi. – MalaysiaGazette