SELAYANG – Bangun seawal empat pagi pada hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, demikian bersemangat seorang pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Norzaidah Mohd Sidek,60, berkata, kekurangan fizikalnya yang berkerusi roda tidak menghalangnya untuk bersiap awal menunaikan tanggungjawabnya hari ini.

Namun beliau agak kecewa melihat ramai yang tidak mengambil kesempatan menunaikan tanggungjawab pada awal pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru.

Sekolah berkenaan merupakan Pusat Pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

“Cuaca bagus pagi ini, jadi kita perlu tunaikan hak untuk mengundi calon kerajaan yang akan uruskan pentadbiran. Saya tidak nampak alasan lain untuk tidak keluar mengundi. Tapi pagi ni saya nampak agak kurang yang keluar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ujarnya, beliau dan suami memilih untuk keluar awal kerana bimbang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan cuaca yang tidak menentu.

“Memang dah rancang keluar awal sebab suami saya hantar saya dan mengundi. juga,” tambah beliau.

Seramai 3,960 pengundi berdaftar di pusat mengundi berkenaan.

DUN Taman Templer menyaksikan pertembungan tiga oenjuru di antara cakon Pakatan Harapan (PH) Anfaal Saari, Zaidy Abdul Talib (PN-Pas) dan Aida Rahman (Muda).-MalaysiaGazette