Ingat lagi minggu lalu apabila pelakon senior, Ogy Ahmad Daud tiba-tiba ‘tumpang semangkuk ‘ memanaskan keadaan ketika isu penyanyi Elly Mazlein nekad menarik diri kerana bekecil hati dengan komen Datuk Ramli MS sebagi juri program Gegar Vaganza 3 (GV3).

Kata Ogy lantang, dia menyokong penyingkiran wanita berusia 36 tahun tu yang hanya suka berdrama dalam program tersebut.

Malah pengarah drama itu menggelarkan ibu tunggal beranak satu itu seorang ‘drama queen’ dan tahu latar belakangnya kerana Elly pernah bekerja dalam satu drama arahannya.

Namun rupa-rupanya, drama yang dimaksudkan Ogy adalah bertajuk Kau Yang Pertama dan menjalani penggambaran pada tahun 2005.

Kuat betul ingatan Ogy sampai sekarang dapat ingat pengalamannya bersama Elly walaupun 11 tahun sudah berlalu.

Namun yang pelik apabila mendengar penjelasan daripada penyanyi itu sendiri.

Jelas Elly, dia sendiri tidak berasa ingat pengalaman itu kerana Ogy hanya mengarah drama itu separuh jalan dan digantikan dengan pengarah lain.

Namun dia mengakui kesal kerana ketika itu tidak berpeluang berkenalan dengan Ogy di set penggambaran berikutan kekangan waktu dan masalah yang menimpa syarikat produksi untuk drama 26 episod.

“Kak Ogy tidak arah drama itu sampai habis dan saya kesal kerana tidak dapat beramah mesra dan mengenali Kak Ogy dengan lebih mendalam.

“Namun yang saya buat saya terharu Kak Ogy tahu dan kenal karektor saya serta ingat sampai hari ini.

“Jujurnya saya tidak ambil hati dengan komen Kak Ogy dengan menggelarkan saya ‘drama queen’ malah saya hormati komen beliau yang juga pelakon senior yang hebat dan Kak Ogy sudah saya anggap seperti ibu saya,” katanya.

Elly ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta jenama fesyen pakaian wanita iaitu Neng Geulid di Hotel Majestic di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Neg Geulis Trading Sdn. Bhd., Halimi Taifor.

Elly Mazlein bersama Pengarah Urusan Neg Geulis Trading Sdn. Bhd., Halimi Taifor.

Mengulas lanjut, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi bersimpati dengan nasib Ogy yang dihentam teruk oleh netizen di laman sosial.

Elly yang terkenal dengan panggilan Kak Lina Pom Pom dalam GV3 berharap netizen bersikap rasional dengan menghormati orang lebih tua.

Ditanya samada dia sanggup bertemu dengan Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Ahmad itu, Elly berkata, isu itu sudah pun selesai namun sedia berjumpa pelakon tersohor pada bila-bila masa untuk berbual apa jua hal.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast