SPRM

SEORANG bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan melakukan kesalahan pecah amanah kira-kira RM1.2 juta dan penggubahan wang haram berjumlah RM 105,000 berhubung hasil royalti pasir syarikat, dua tahun lalu.

Tertuduh, Rizam Sahar, 36, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memindahkan wang RM105,000 daripada akaun Public Bank miliknya melalui dua keping cek masing-masing bernilai RM100,000 dan RM5,000 ke dalam akaun RS Star Contractors & Construction Sdn Bhd dipercayai hasil aktiviti haram.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda 5 kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta; mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah bernilai RM 1.249 juta berhubung hasil royalti pasir Syarikat Gabungan Dinamik Wilayah JB Sdn Bhd dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun miliknya.

Bagi kesalahan tersebut, beliau didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat dan denda.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara bulan November 2014 sehingga Mac 2015 di Public Islamic Bank, Cawangan Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes pada 1 Februari 2017.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Hafiz Halil. – MalaysiaGazette