Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.3 peratus pada tahun 2017 berbanding jangkaan 4.1 peratus pada tahun ini.

Ketua Ekonomi MIDF Investment, Dr. Kamaruddin Mohd Nor berkata, prestasi itu pacu ekonomi China yang dijangka kembali stabil pada tahun depan, sekali gus melonjak semula aktiviti eksport negara.

“Pada tahun 2017, MIDF Investment menjangkakan prestasi dagangan lebih baik dengan pertumbuhan eksport 3.0 peratus, disokong momentum pertumbuhan positif China dan pengukuhan perbelanjaan Amerika Syarikat,” katanya dalam taklimat media mengenai Tinjauan Ekonomi 2017 di sini hari ini.

China merupakan dagangan terbesar Malaysia yang mewakili antara 13 hingga 15 peratus eksport negara dan angka itu dijangka stabil pada tahun 2017. Sementara eksport Amerika Syarikat pula mewakili 11 hingga 12 peratus.

Menurut beliau, Turki dan Mexico bakal destinasi baru perdagangan Malaysia.

Pada tahun ini aktiviti dagangan adalah sederhana dengan 10 bulan pertama menyaksikan penyusutan 0.6 peratus dalam perbandingan tahun ke tahun.

Manakala import jatuh sebanyak 0.1 peratus dalam tempoh yang sama.

Meskipun begitu, katanya, tahun 2017 dijangka menjadi tahun mencabar disebabkan ketidaktentuan global terutama berkaitan dengan polisi-polisi yang bakal dilaksanakan oleh bakal presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Selain itu, gelombang kejutan Brexit dan turun naik harga minyak juga turut merupakan cabaran kepada ekonomi negara.

Kamaruddin menambah, Malaysia dijangka menikmati keseimbangan perdagangan berikutan penurunan nilai ringgit yang bakal menjadi pengukuhan pemangkin dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Katanya, risiko utama yang dihadapi oleh pertumbuhan Malaysia tidak terletak pada dasar perlindungan tetapi disebabkan oleh penggantian import.

Perkara ini berlaku dalam kalangan negara-negara yang memiliki populasi kuasa beli yang kukuh, pemilikan tanah besar-besaran dan bakat seperti Amerika Syarikat dan China telah mengancam aktiviti perdagangan global.

MIDF Investment, katanya, juga menjangkakan harga minyak dan prestasi ringgit kekal turun naik tahun depan, disebabkan permintaan dan bekalan minyak serta pelaksanaan polisi monetari dan fiskal Amerika Syarikat.

Malah, jangkaan pilihan raya umum Malaysia turut menyumbang kepada faktor itu.

Beliau menjangkan kadar pertukaran dolar Amerika berbanding ringgit RM4.20 pada akhir tahun depan dan purata harga minyak mentah Brent pula AS$50 setong.

Kelemahan ringgit itu dijangka memberi peluang lagi kepada penurunan kadar faedah sebanyak 25 peratus kepada 2.75 mata asas.

Harga inflasi pula kekal sederhana tahun ini kerana harga petrol yang lebih rendah berbanding tahun lalu namun naik kepada 2.8 peratus tahun 2017 berbanding unjuran 2.3 peratus tahun ini. – MalaysiaGazette