Home Utama Agensi kendali umrah wajib ada lesen khas mulai Oktober 2017

Agensi kendali umrah wajib ada lesen khas mulai Oktober 2017

Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Mulai 1 Oktober tahun 2017 semua agensi mengendalikan umrah perlu mempunyai lesen khas Umrah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Lesen khas itu untuk memantau dan mengelak kes penipuan umrah berulang lagi pada masa akan datang, kata Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Menurut beliau, syarikat pengendali umrah diwajibkan menjalani Kursus Pemantapan Pengendali Umrah (KPPU) selama dua hari.

“Walaupun lesen ini akan diperkenalkan pada Oktober tahun depan, kursus sudah mula dijalankan dan tidak perlu tunggu sehingga Oktober 2017,” katanya selepas keputusan Mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) di sini.

Sebelum ini, syarikat-syarikat mengendalikan ibadah ke umrah hanya perlu mendapatkan lesen perjalanan ke luar negara (outbound).

Tetapi bermula Oktober tahun depan, mereka perlu mendapatkan kedua-dua lesen iaitu lesen outbound dan lesen khas umrah, jelasnya.

Mas Ermieyati menambah, mana-mana syarikat pengendali umrah yang gagal mendapatkan lesen khas itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Mereka juga berisiko dengan dengan pembatalan lesen pelancongan. Undang-undang itu tertakluk di bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992. – MalaysiaGazette