Bas yang membawa tentera meletup selepas dikatakan melepasi sebuah kereta di Kayseri, Turki. Foto Agensi

KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Ankara mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan bom di Kayseri.

Pihak kedutaan akan terus berhubung dengan Turki dan rakyat Malaysia termasuk para pelajar yang menuntut di sana.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin dan berhasrat mengunjungi Turki sentiasa berhati-hati dan peka serta merujuk kepada panduan keselamatan yang disiarkan di laman sesawang kementerian.

Malaysia mengutuk serangan bom kereta di Kayseri, 322 kilometer dari Ankara yang mengorbankan 13 orang dan mencederakan 55 yang lain.

Kerajaan Malaysia merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada Turki dan keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan tersebut.

Malaysia berharap pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette