Home Utama Malaysia tidak perlu rangsangan ekonomi, fokus fundamental

Malaysia tidak perlu rangsangan ekonomi, fokus fundamental

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Malaysia bukan berada dalam krisis ekonomi sebaliknya berhadapan dengan ‘pergolakan’, lantaran itu tidak ada keperluan untuk melakukan pelan rangsangan ekonomi.

Sebaliknya, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, dalam menghadapi persekitaran semasa Malaysia perlu mengukuhkan fundamental dan fokus kepada keperluan.

“Kita tidak perlu rangsangan ekonomi kerana Malaysia melakukan pelaburan dalam infrastruktur seperti LRT, MRT, komuter dan tidak lama lagi HSR. Ia adalah pelaburan secara tidak langsung.

“Dalam situasi semasa kita memang tidak boleh elak spekulatif ketika dunia kembali melihat kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat.

“Malah ringgit tidak mengalami perubahan besar ketika Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah kerana ringgit sudah lama berada dalam kesan faktor itu.

“Cuma Malaysia perlu fokus apa yang dilakukan tanpa perlu kawalan modal, tambatan ringit, benarkan aliran keluar masuk modal, galakan eksport untuk menunjukkan negara ini adalah terbuka dalam ekonomi.

“Jika Malaysia terus menyediakan ekosistem pelaburan yang baik, pertahankan kestabilan politik negara, pelabur akan kembali ke Malaysia selepas dunia stabil,” katanya ketika diminta mengulas ketidaktentuan kedudukan ringgit.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Amanah Raya Berhad dan Kenedix Inc.

Pada awal dagangan hari ini, ringgit diniagakan 4.4750/4800 berbanding dolar. Jumaat lalu ringgit ditutup 4.4755/4795.

Tegas beliau, Malaysia telah melalui situasi semasa ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98 dan kelembapan pasaran dunia pada tahun 2008/09 dan kitaran itu berulang lagi.

Menurut beliau, pada tahun 1997 ekonomi negara menjunam sebanyak 7.0 peratus tetapi selepas itu Malaysia bangkit semula. Begitu juga semasa ekonomi negara menyusut 1.5 peratus pada 2008/09.

Tetapi pada masa ini, ekonomi Malaysia berkembang sederhana 4.3 peratus dan dagangan kita berjumlah RM1.3 trilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar dan prestasi itu jauh lebih baik berbanding ekonomi-ekonomi serantau.

“Oleh itu kita jangan panik. Ringgit akan mengambil masa untuk pulih dan stabil,” jelas Johari.

Tambahnya, Bank Negara Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menghentikan ringgit daripada susut tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk bangkit semula. – MalaysiaGazette