Wednesday, April 24, 2024
Home Nasional 20 rakyat Malaysia mangsa serangan Karak Castle pulang

20 rakyat Malaysia mangsa serangan Karak Castle pulang

Istana Karak

KUALA LUMPUR – Kesemua 20 rakyat Malaysia termasuk dua yang cedera ketika berada di Karak Castle, lokasi kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan Jordan dan sekumpulan lelaki bersenjata di Bandar Karak, Jordan Ahad lepas, selamat tiba di tanah air malam tadi.

Menurut jurucakap Wisma Putra, mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 9.05 malam tadi.

“Mereka telah selamat tiba ke tanah air selepas dua daripada mereka yang cedera ringan selesai menerima rawatan di hospital berdekatan sekitar Jordan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pada 18 Disember lepas, serangan ke atas Karak Castle di Bandar Karak yang terletak 132km ke selatan Amman, ibu kota Jordan itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang iaitu seorang wanita Kanada, tiga orang awam dan lima anggota polis.

Dua daripada 20 rakyat Malaysia yang melancong di negara itu turut cedera akibat terkena serpihan kaca berpunca daripada tembakan yang dilepaskan ketika mereka berada di dalam bas di bandar Karak yang secara kebetulan lalu di tempat kejadian. – Bernama

– BERNAMA