Home Ekonomi Inflasi bulan November naik 1.8%

Inflasi bulan November naik 1.8%

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan naik pada kadar lebih tinggi sebanyak 1.8 peratus pada bulan November 2016 kepada 116.9 daripada 114.8 pada bulan yang sama tahun lepas.

Peningkatan indeks bagi kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (+3.8 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.1 peratus) telah diimbangi dengan penurunan indeks bagi kumpulan Komunikasi sebanyak 2.7 peratus, Pengangkutan (-1.5 peratus) dan Pakaian & Kasut (-0.5 peratus).

Indeks kumpulan Pengangkutan menunjukkan penurunan yang lebih kecil iaitu 1.5 peratus pada asas tahun ke tahun bagi November 2016, setelah turun 5.5 peratus masing-masing pada Oktober dan September 2016.

Meskipun harga purata 1 liter petrol RON95 meningkat kepada RM1.95 pada November 2016, namun masih rendah dibandingkan harga pada November 2015 iaitu RM 2.05.

Bagi petrol RON97, harga purata meningkat kepada RM2.30 pada November 2016 daripada RM2.15 pada Oktober 2016. Walaubagaimanapun, harga RON97 pada November 2016 lebih rendah berbanding dengan November 2015.

Indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol meningkat 3.8 peratus pada November 2016.

Kenaikan ini didorong oleh indeks sub-kumpulan makanan minyak dan lemak (+36.6 peratus); daging (+6.0 peratus); ikan dan makanan laut (+4.5 peratus) dan sayur-sayuran (+3.6 peratus).

Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada November 2016, dengan kenaikan 3.4 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan November 2016 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah minyak masak (+45.6 peratus); ayam (+10.0 peratus); sotong (+7.8 peratus); Ikan Tenggiri (+7.2 peratus); Ikan Kembong (+5.4 peratus); udang (+4.8 peratus) dan Ikan Merah (+4.5 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti lobak merah (-9.2 peratus); bawang besar (-7.5 peratus) dan tomato (-3.6 peratus).

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol merekodkan kenaikan lebih tinggi daripada kadar IHP keseluruhan.

Kenaikan indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol dicerminkan di setiap negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan juga Melaka.

Enam negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol melebihi paras indeks nasional bagi November 2016 berbanding bulan yang sama tahun 2015.

Indeks bagi kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol naik 5.2 peratus di Melaka, 4.8 peratus di Johor, 4.5 peratus di Pulau Pinang, 4.1 peratus di Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, 4.0 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 3.9 peratus di Negeri Sembilan.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol naik 1.0 peratus pada November 2016, setelah turun 0.3 peratus pada Oktober 2016.

Sementara itu, indeks kumpulan Bukan Makanan juga mencatatkan kenaikan sebanyak 1.0 peratus pada November 2016 berbanding bulan sebelumnya.

Bagi kumpulan Minuman Alkohol dan Tembakau, peningkatan sebanyak 19.8 peratus adalah disebabkan oleh kenaikan dalam harga tembakau bermula November 2015. Bagaimanapun, indeks Minuman Alkohol dan Tembakau mula stabil dan mencatatkan kenaikan 1.9 peratus pada November 2016.

Berdasarkan terma pelarasan musim, IHP bagi November 2016 naik sebanyak 1.0 peratus berbanding Oktober 2016

Inflasi teras naik 2.2 peratus pada November 2016 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pemangkin kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan Pengangkutan (+3.5 peratus); Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (+3.4 peratus); Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan (+3.2 peratus); Kesihatan (+2.5 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (+2.3 peratus). – MalaysiaGazette