KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendakwa Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. yang dibatalkan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkuatkuasa semalam masih beroperasi.

Dakwaan itu dibuat selepas beberapa pihak berkaitan dengan syarikat penerbangan itu menghubungi NUFAM hari ini.

Mereka memaklumkan telah menerima arahan daripada Eaglexpress supaya melakukan penerbangan di luar Jeddah.

“Berikutan daripada makluman ini, NUFAM membuat pengesahan tentang keputusan Mavcom semalam dan Sekretariat NUFAM difahamkan bahawa semua operasi Eaglexpress telah dibatalkan mulai hari ini,” kata NUFAM dalam kenyataan di Facebooknya.

Lantaran itu, NUFAM mempersoalkan adakah Eaglexpress telah mengabaikan arahan Mavcom dan memberi risiko kepada anak-anak kapal.

“Adakah Eaglexpress mahu memberi risiko kepada orang ramai ketika syarikat itu mengetahui bahawa lesennya telah dibatalkan secara rasmi? soal NUFAM lagi.

Sehingga kenyataan ini ditulis, NUFAM berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan makluman yang diperoleh.

Bagaimanapun, NUFAM diberitahu bahawa anak kapal akan dibawa ke Jeddah supaya operasi berjalan seperti biasa.

jad1

jad2

Semalam, Mavcom mengumumkan membatalkan ASP Eaglexpress berkuat kuasa 21 Disember ini.

Dengan pembatalan ASP ini, Eaglexpress adalah dilarang untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual sama ada di laluan domestik atau antara bangsa.

Jika syarikat penerbangan tersebut terus menjalankan perkhidmatan sedemikian, ianya merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

Dalam kenyataan tersebut, Mavcom berkata, pada 30 Ogos 2016 telah memberikan Eaglexpress suatu ASP bagi tempoh 12 bulan (bermula dari 1 September 2016 sehingga 31 Ogos 2017) berserta syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh syarikat penerbangan tersebut dalam tempoh masa seperti yang telah ditetapkan.

Namun, Eaglexpress telah gagal untuk mematuhi syarat-syarat tersebut.

Pada 1 Disember 2016, Mavcm telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Eaglexpress, untuk memberikan peluang kepada syarikat penerbangan tersebut untuk memberikan representasi secara bertulis.

Eaglexpress telah pun menyerahkan kepada Mavcom suatu representasi bertulis pada 14 Disember 2016. Walau bagaimanapun, setelah meneliti representasi bertulis tersebut, Mavcom mendapati Eaglexpress telah gagal untuk mengemukakan penjelasan yang memuaskan.

“Oleh yang demikian, MAVCOM telah memutuskan untuk membatalkan ASP milik Eaglexpress.

“Syarikat penerbangan tersebut telah gagal untuk memberikan bukti yang cukup untuk meyakinkan Mavcom ia akan dapat menyelesaikan semua isu berbangkit dan dapat mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” kata suruhanjaya itu. – MalaysiaGazette