Home Nasional 137 penduduk Orang Asli Pos Kemar positif malaria

137 penduduk Orang Asli Pos Kemar positif malaria

KUALA LUMPUR – Seramai 137 orang penduduk Pos Kemar, Hulu Perak yang terdiri daripada 72 orang lelaki dan 65 wanita dikesan positif malaria setakat 21 Disember lalu.

Jumlah itu termasuk 79 orang kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penduduk sebelum ini mengadu mengalami demam berpanjangan.

Pos Kemar adalah kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan bebas malaria (kawasan hijau) memandangkan tiada kes malaria dilaporkan di kawasan ini sejak lebih dari 3 tahun lalu.

Selepas MBS dijalankan di kampung-kampung berkenaan, pemantauan berterusan dilakukan oleh Petugas Kesihatan. Mana-mana individu yang mengalami demam perlu menjalani pemeriksaan darah untuk malaria.

Dr. Noor Hisham berkata, aktiviti-aktiviti kawalan lain telah dipertingkatkan di kampung-kampung yang terlibat dan setakat 21 Disember 2016, sebanyak 724 rumah (100%) di kawasan ini telah disembur dengan racun pembunuh nyamuk dan kesemua penduduknya telah dibekalkan dengan kelambu berubat.

Sehingga hari ini hanya satu kes yang dikesan di luar dari kelompok aktiviti pemeriksaan darah beramai-ramai.

Katanya, penularan wabak itu berlaku kerana parasit malaria telah dibawa masuk oleh pesakit malaria dari luar kawasan.

Risiko utama adalah kemasukan pekerja asing ke kawasan ini.

Lantaran itu, saringan pengesanan malaria telah dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak ke atas 71 orang pekerja asing yang terlibat dalam projek pembinaan di Pos Kemar dan kesemua didapati negatif malaria.

Namun, pergerakan keluar-masuk yang tinggi di kalangan pekerja asing yang terlibat dalam projek pembinaan di lokasi ini menyebabkan kemungkinan populasi pekerja asing menjadi punca jangkitan tidak dapat ditolak.

Sehubungan itu, majikan bertanggungjawab memastikan pekerja asing disaring bagi mengesan jangkitan malaria dan mengelakkan mereka ini menjadi punca jangkitan di kalangan masyarakat tempatan. – MalaysiaGazette