Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengguris kaum wanita, terutama golongan isteri yang belum dikurniakan cahaya mata.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Hannah Yeoh berkata, kalau seseorang itu berfikiran waras, tidak akan mengeluarkan kenyataan berbaur seksis dan sensitif, sebaliknya lebih bersikap anak jantan.

“Ia menyedihkan. Kalau seseorang itu kehabisan hujah (serang balas kenyataan) terhadap perempuan, biasanya mereka akan menyerang status perkahwinan perempuan berkenaan atau status anak,” katanya dalam status Facebook beliau, hari ini.

Hannah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-DAP) Subang Jaya mengulas kenyataan balas Jamal kepada penyanyi selebriti, Datuk Siti Norhaliza dengan kata-kata menyindir penyanyi itu yang masih tidak menimang cahaya mata.

Kelmarin, Jamal dengan hanya memakai tuala pergi ke pejabat Menteri Besar Selangor di Shah Alam, untuk menumpang mandi kerana di rumahnya tidak ada bekalan air.

Beliau bersama beberapa pengikutnya turut membawa peralatan lain seperti sabun dan berus gigi sebagai protes terhadap kerajaan negeri yang gagal mengurus masalah air di negeri itu.

Berikutan itu, Siti memuat naik gambar Jamal di laman Instagramnya dan mempersoalkan tindakan Ketua NGO Gerakan Baju Merah itu hadir ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) dengan bertuala bagi membantah gangguan air.

“Jangan jadi macam Jamal ye… #kawasansayapuntakdeair #dapatnotis #sediatong #fahambahasa #Repost @yasinsulaiman.

Bagaimanapun, Jamal membalas balik status Siti itu dengan pesanan, “Jaga air sendiri yang tidak berapa subur itu, atau cari air lain.

Siti pula di laman Twitternya menyifatkan kritikan itu tidak memberi sebarang kesan kepada dirinya.

“Takpe dik, biarkan mereka. Kata-kata orang macam ini tak memberi kesan pada saya sebab saya tahu mereka cakap tak guna otak yang Allah kurniakan,” tulisnya. – MalaysiaGazette