Home Utama Pembatalan ASP Eaglexpress muktamad

Pembatalan ASP Eaglexpress muktamad

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menafikan pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASP) terhadap Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. telah ditarik semula.

Dalam emel kepada MalaysiaGazette, jurucakap Mavcom berkata, keputusan yang diumumkan pada 20 Disember lalu adalah muktamad.

Bagaimanapun, jika Eaglexpress mahu terus menjadi pemain dalam industri penerbangan di Malaysia, syarikat itu perlu mengemukakan permohonan untuk memperoleh ASP baru.

Jurucakap itu mengulas spekulasi kononnya Eaglexpress akan mendapat semula ASP selepas lesen itu dibatalkan Mavcom berkuatkuasa 21 Disember lalu.

Sebelum ini, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menerusi Facebook mendakwa Eaglexpress masih beroperasi.

Dakwaan itu dibuat selepas beberapa pihak berkaitan dengan syarikat penerbangan itu menghubungi NUFAM dan mendedahkan menerima arahan daripada Eaglexpress supaya melakukan penerbangan di luar Jeddah.

Dalam kenyataan media pada 20 Disember lalu, Mavcom berkata, dengan pembatalan ASP Eaglexpress, syarikat itu dilarang membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual sama ada di laluan domestik atau antarabangsa.

Jika syarikat penerbangan tersebut terus menjalankan perkhidmatan sedemikian, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

Dalam kenyataan tersebut, Mavcom berkata, pada 30 Ogos 2016 telah memberikan Eaglexpress suatu ASP bagi tempoh 12 bulan (bermula dari 1 September 2016 sehingga 31 Ogos 2017) berserta syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh syarikat penerbangan tersebut dalam tempoh masa seperti yang telah ditetapkan.

Namun, Eaglexpress telah gagal untuk mematuhi syarat-syarat tersebut.

Ditanya berhubung masalah kewangan yang dihadapi Eaglexpress sehingga kakitangannya tidak mendapat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pekeso, Mavcom berkata, perkara itu bukan di bawah pengawasannya.

Sebaliknya ia di bawah Kementerian Sumber Manusia, manakala isu membabitkan KWSP dan Pekeso, masing-masing di bawah Akta Dana KWSP 1991 dan Akta Keselamatan Sosial Kakitangan 1969. – MalaysiaGazette