Malik Noor

KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YKAK) menyambut baik kerjasama yang diberikan UMNO, MCA dan MIC dalam menjayakan program membantu keluarga miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Petaling Jaya.

Pengerusinya, Datuk Malik Noor berkata, penduduk di kawasan itu gembira dan sangat teruja dengan program berkenaan yang turut menyampaikan bantuan persekolahan seperti peralatan tulis dan beg untuk kegunaan anak-anak mereka.

Menurut beliau, program itu juga turut mengeratkan silaturahim pelbagai kaum di kawasan berkenaan, selain meringankan beban keluarga miskin yang tidak mampu menyediakan kos persiapan persekolahan anak.

“Saya harap kerjasama daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) ini dapat menggembirakan penduduk di sini, yang selama ini dahagakan perhatian daripada wakil rakyat,” katanya selepas program penyampaian beg sekolah dan alat tulis di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer di sini, hari ini.

Turut hadir, Penyelaras DUN yang juga Penyelia Pembangunan Persekutuan DUN Taman Templer, Datuk Ir. Nasir Ibrahim.

Sementara itu, menurut Ir. Nasir, DUN itu yang diwakili wakil rakyat dari PKR dilihat cuba merenggangkan diri daripada masyarakat ketika saat penduduk miskin memerlukan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Ujar beliau, dalam pertemuan dengan penduduk yang hadir pada program itu, jelas kelihatan mereka begitu gembira dan teruja kerana YKAK dengan kerjasama UMNO, MCA dan MIC menganjurkan aktiviti kemasyarakatan.

Pada majlis itu, anak penduduk menerima beg sekolah dan alat tulis, sekali gus dapat menjimatkan kos pembiayaian keluarga menjelang sesi persekolahan minggu depan. – MalaysiaGazette