Tengku Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) bersalaman dennga kapten pasukan Selangor, Andik Vermansah (kanan) sebelum perlawanan akhir TM Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 30 OKTOBER 2016

OLEH DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah

Perkembangan dan berita terkini berkaitan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) amat MEMBIMBANGKAN.

Beta juga telah secara peribadi membaca keluhan daripada para penyokong Red Giants di dalam platform media sosial beta di mana kesemuanya meluahkan keresahan yang juga dikongsi di hati sanubari.

Beta menyarankan agar ROMBAKAN yang DRASTIK dilaksanakan oleh FAS sendiri. Berleluasanya politik, cara pengendalian yang lapuk, wujudnya mentaliti terlalu mengharapkan subsidi sama sekali harus DIHAPUSKAN.

Perubahan ini memerlukan rombakan keseluruhan struktur organisasi FAS; daripada mengemaskinikan perlembagaan supaya ianya lebih relevan dan sesuai pada masa sekarang, mengorak strategi bukan sahaja untuk pasukan utama malah juga meletakkan penekanan yang lebih menyeluruh terhadap pembangunan bola sepak akar umbi, mempertingkatkan mutu infrastruktur di serata negeri, dan juga melaksanakan aspek pemasaran sukan ‘sports marketing’ yang komprehensif untuk memperoleh pendapatan yang mampan bagi FAS.

Kita PERLUKAN suntikan nafas yang BAHARU. Pasukan Red Giants yang kaya dengan sejarah harus kita kekalkan martabatnya dan sangat penting untuk kita semua perjuangkan. Masa tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Maka pada itu sekiranya barisan Exco sedia ada tidak dapat memperbaiki situasi dalam masa yang terdekat, beta cadangkan agar mereka berundur secara terhormat supaya pasukan berkebolehan yang baharu dapat memulihkan organisasi yang tenat ini.

Lantasan itu, beta sarankan agar Presiden FAS memperkenalkan barisan baharu yang bebas daripada unsur-unsur politik, berdasarkan merit, bertenaga dan paling penting dapat membuahkan hasil yang positif terhadap pasukan bola sepak kesayangan rakyat negeri Selangor.

Kita sebagai penyokong harus percaya dan berpegang teguh bersama pemain-pemain yang sedia ada kerana kita harus mengakui bahawa kita terpaksa mengharungi kesukaran, onak dan duri selama beberapa tahun oleh kerana tindakan beberapa pihak yang TIDAK BERTANGGUNGJAWAB sebelum Gergasi Merah bangkit semula.

Kita juga harus beristikamah dan percaya bahawa akan terdapat sinar disebalik kegelapan yang sedang kita harungi. Akan tetapi untuk kembali kepada zaman kegemilangan kita, nafas baharu harus dihembus maka orang-orang LAMA yang dihormati perlu BERUNDUR diri.