Home Ekonomi Nilai prestasi FGV untuk jangka panjang

Nilai prestasi FGV untuk jangka panjang

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Berhad (FGV) mengakui para pelabur saham syarikat itu mengalami kerugian di atas kertas apabila harga saham syarikat itu didagangkan sekitar RM1.50 hingga RM1.70 sesaham pada  Disember tahun ini.

Berbanding ketika disenaraikan pada Jun 2012, harga saham FGV diterbitkan pada harga RM4.55 sesaham dan melonjak ke paras melebihi RM5.00 pada awal apungan disebabkan sentimen pasaran yang cukup baik ketika itu.

Prestasi baik itu dipacu oleh harga komoditi dan pasaran industri perladangan sawit ketika itu berada di tahap yang cukup tinggi dan penyenaraian dibuat pada tempoh yang tepat.

Bagaimanapun, pada 2015 berlaku fenomena El-Nino yang terburuk dalam sejarah dan ini memberi kesan kepada FGV dan syarikat perladangan sawit yang lain.

Selepas itu, harga komoditi sawit dunia mula mencatatkan penurunan yang secara langsung telah mempengaruhi sentimen pelabur ke atas kaunter-kaunter saham berasaskan komoditi berkenaan termasuklah FGV.

Penurunan ketara harga saham FGV mula dicatatkan pada 2014, yang mana ketika itu berlaku penuruan drastik harga minyak sawit mentah (MSM) dunia dan banjir besar.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, faktor-faktor ini secara langsung telah memberi kesan kepada prestasi syarikat perladangan dan dalam masa yang sama mempengaruhi sentimen pelabur ke atas saham-saham kaunter berasaskan komoditi sawit.

Pada pertengahan 2016, harga minyak sawit mentah (MSM) dunia mula mencatatkan peningkatan yang baik dengan merekodkan harga harian melebihi RM3,000 setiap tan, bagaimanapun disebabkan impak fenomena El-Nino telah menyebabkan pengeluaran merosot untuk jangka masa yang lebih lama dari dijangka.

“Saham FGV didagangkan sekitar RM1.50 hingga RM1.70 pada Disember 2016. Memang diakui berlaku kerugian di atas kertas kepada semua pelabur-pelabur utama FGV, namun perlu diingatkan bahawa sebagai sebuah syarikat perladangan, prestasi FGV perlu dinilai untuk tempoh jangka masa yang lebih panjang.

“Pelaburan daa sektor perladangan adalah berkonsepkan jangka masa panjang kerana melibatkan fasa turun naik harga komoditi berkenaan di pasaran dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak disenaraikan pada 2012, FGV tidak pernah gagal memberi dividen kepada semua pemegang saham walaupun ketika syarikat berdepan dengan situasi perniagaan yang mencabar.

Ini jelas menunjukkan FGV adalah sebuah syarikat yang kukuh dan berpotensi besar untuk berkembang pada masa depan.

Katanya, FGV ketika ini sedang dalam proses transformasi perniagaan dan operasinya dengan membangunkan pelan strategik 2017-2020 bagi memastikan kumpulan kembali bangkit dan memberikan pulangan yang baik kepada pemegang saham serta pihak berkepentingan.

“Pada tahun ini sahaja FGV telah meletakkan sasaran penjimatan kos pentadbiran sebanyak RM100 juta dan ketika ini berada di landasan betul untuk mencapainya. Selain itu, FGV juga sedang giat menambah baik operasi perniagaan teras, menstrukturkan semula operasi, mengoptimumkan aset sedia ada dan mengukuhkan kewangan kumpulan

“Pelan strategik yang sedang dilaksanakan oleh FGV dijangka mula membuahkan hasilnya pada 2017 dan membantu operasi kumpulan terus mampan untuk jangka masa panjang. Apa yang penting ialah kita perlu melihat bahawa fundamental Kumpulan FGV masih lagi kukuh dan seharusnya menjadi perkara yang dipertimbangkan bagi meyakinkan pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette