Zamil menunjukkan salinan memorandum desak yang dihantar kepada SPRM Selangor

SHAH ALAM – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor, mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan hasil siasatan agensi itu berhubung isu pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

Desakan itu dinyatakan tiga NGO iaitu Pertubuhan Suara Rakyat Marhaen (Suara), Batas Malaysia dan Gapenas Selangor menerusi penyerahan memorandum kepada SPRM di pejabat agensi itu di sini, hari ini.

Menurut wakil NGO, Zamil Ibrahim, memorandum itu untuk meminta SPRM menyatakan kepada umum hasil siasatannya berhubung penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan SPLASH.

“Kita telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM pada 15 November lalu dengan menyerahkan pelbagai maklumat berkaitan, tetapi sehingga kini tidak ada sebarang jawapan daripada SPRM berhubung siasatannya.

“Kita lapor kepada SPRM kerana kita dapati wujud perbezaan ketara atau percanggahan dalam SPLASH ketika pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim (mantan Menteri Besar) dengan Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya kepada media di sini.

Zamil turut menzahirkan dukacita bagi pihak pihak NGO berkenaan, apabila mendapati Khalid, Mohamed Azmin dan Pengerusi SPLASH, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah belum dipanggil SPRM untuk sebarang sesi soal siasat.

“Kita sedia maklum, Khalid bersedia bila-bila masa untuk dipanggil SPRM, tetapi dua pihak lagi tidak menyatakan apa-apa maklum balas berhubung isu ini.

“Kita juga minta SPRM tidak memandang remeh isu ini kerana ia membabitkan wang dan keperluan rakyat. Kita tidak mahu rakyat hilang kepercayaan terhadap SPRM Selangor,” ujarnya. – MalaysiaGazette