Pada 2017, tarif asas purata diluluskan pada RM26.71 MMBtu (satu juta Unit Termal British) untuk separuh pertama, diikuti RM28.05 MMBtu pada separuh kedua dan seterusnya RM30.90 dan RM31.92 MMBtu masing-masing pada separuh pertama dan kedua 2018.

KUALA LUMPUR – Gas Malaysia Bhd telah menerima kelulusan kerajaan untuk melaksanakan semakan tarif gas asli untuk sektor bukan tenaga di Semenanjung Malaysia mulai 1 Jan 2017 sehingga 31 Dis 2019 seiring dengan rangka kerja Kawal Selia Berdasarkan Insentif (IBR).

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, rangka kerja IBR menetapkan tarif asas untuk tempoh kawal selia tiga tahun mulai Januari tahun depan dan membenarkan perubahan dalam kos gas untuk dilepaskan melalui mekanisme penyaluran kos gas setiap enam bulan.

Pada 2017, tarif asas purata diluluskan pada RM26.71 MMBtu (satu juta Unit Termal British) untuk separuh pertama, diikuti RM28.05 MMBtu pada separuh kedua dan seterusnya RM30.90 dan RM31.92 MMBtu masing-masing pada separuh pertama dan kedua 2018.

Pada 2019, tarif asas purata yang diluluskan ialah RM32.69 MMBtu untuk enam bulan pertama dan RM32.74 bagi enam bulan berikutnya.

Gas Malaysia berkata, di bawah mekanisme GCPT, satu rebat tarif sebanyak RM0.40 setiap MMBtu akan diberi kepada semua kategori tarif untuk tempoh Januari hingga Jun 2017.

“Ini diterjemahkan kepada tarif berkesan purata sebanyak RM26.31 setiap MMBtu, iaitu pengurangan 2.74 peratus berbanding tarif purata sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, tarif asas untuk tempoh kawal selia itu dijangka memberi sumbangan positif kepada kedudukan kewangan syarikat bagi tiga tahun kewangan akan datang.

— BERNAMA