Home Dunia Penempatan Israel ancam demokrasi – Kerry

Penempatan Israel ancam demokrasi – Kerry

WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry memberi amaran kepada Israel bahawa penempatan bangunan di atas tanah Palestin mengancam masa depan sebuah negara demokrasi.

Kurang daripada empat minggu sebelum Presiden Barack Obama meninggalkan White House, Kerry menuduh kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang membenarkan usaha pendamaian sia-sia.

Dan beliau menegaskan kutukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap penempatan haram Yahudi di atas tanah yang diduduki adalah selaras dengan nilai-nilai Amerika.

Bagaimanapun, Donald Trump yang akan menerajui Amerika pada 20 Januari ini meminta Israel supaya kekal kuat menghadapi tekanan antarabangsa sehingga beliau menduduki White House tidak lama lagi.

Pegawai-pegawai Washington enggan menyatakan apa yang mereka akan lakukan selepas ini, tetapi Israel bimbang pentadbiran Amerika itu akan memasukkan prinsip-prinsip tersebut dalam resolusi PBB atau kenyataan oleh kuartet diplometik Timur Tengah.

Netanyahu yang menolak kenyataan itu berkata, ketua diplomat Washington itu bias terhadap perjuangan Palestin.

Ucapan Kerry itu tidak menyimpang daripada dasar Amerika sejak bertahun-tahun mahu pun sebagai amaran.

“Hari ini, terdapat sebilangan Yahudi dan rakyat Palestin yang tinggal di antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean.

“Mereka mempunyai pilihan. Mereka boleh memilih untuk tinggal bersama-sama dalam satu negara, atau mereka boleh berpisah kepada dua negeri.

“Tetapi di sini adalah satu realiti fundamental: jika pilihan adalah satu negara, Israel boleh sama ada menjadi Yahudi atau demokratik – ia tidak boleh menjadi kedua-dua dan ia tidak akan pernah benar-benar menjadi aman,” jelas beliau.

Kerry berkata demikian di tengah-tengah kecelaruan diplomatik yang tercetus minggu lalu apabila atas arahan Obama, diplomat Amerika Syarikat tidak mengundi veto resolusi Majlis Keselamatan PBB mengkritik Israel.

Resolusi itu, disokong sebulat suara oleh 15 kuasa di dalam majlis ini, mengisytiharkan penempatan Israel di kawasan timur Jerusalem dan Tebing Barat di luar sempadan 1967 adalah haram.

Kerry berkata, resolusi itu dibenarkan untuk lulus sebagai amaran bahawa penempatan Israel merosakkan usaha untuk menghidupkan semula rundingan damai, bukan satu usaha untuk menghukum status akhir wilayah.

Tetapi, dalam menyambut ucapan Kerry, Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyatakan dengan jelas bahawa beliau menganggap resolusi, UNSC 2334, sebagai satu elemen undang-undang antarabangsa yang akan menyokong rundingan masa depan.

Dalam satu kenyataan, Abbas berkata, rakyat Palestin bersedia untuk meneruskan perbincangan “pada minit kerajaan Israel bersetuju untuk menghentikan semua aktiviti penempatan … atas dasar undang-undang antarabangsa … termasuk UNSC 2334”. – MalaysiaGazette