Jamal Md. Yunus

KUALA LUMPUR – Kegusaran Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dengan tindakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus menyerbu secara salah pusat perjudian di daerah itu menjadi kenyataan.

Ini berikutan pengakuan Jamal hari ini, yang mendakwa beliau menerima ugutan bunuh dari seorang lelaki dipercayai berbangsa India.

Menurut Pengerusi Gabungan NGO Melayu itu, beliau menerima panggilan dari seorang lelaki tidak dikenali yang menyatakan mahu membunuhnya.

“Tolong viralkan, nombor (telefon) ini telah membuat pangilan kepada saya, ugut mahu bunuh saya. Seorang lelaki India,” katanya dalam rakaman yang dihantar kepada media.

Dipercayai ugutan bunuh itu datang daripada lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan Jamal menceroboh premis perjudian mereka.

Semalam, Ketua Polis Selangor dilaporkan berkata, tindakan Jamal itu melanggar undang-undang iaitu melakukan pencerobohan ke atas suatu tempat.

Katanya, jika pemilik sesebuah premis itu membuat laporan, Jamal boleh dikenakan tindakan atas kesalahan itu.

Menurut Abdul Samah, Ketua Gabungan NGO Melayu itu mungkin mempunyai niat yang baik untuk mendedahkan kegiatan judi dan maksiat serta pusat hiburan haram sekitar Selangor, tetapi gunakanlah saluran yang betul.

Beliau juga bimbang kerana aktiviti mesin judi mempunyai rangkaian dengan elemen kongsi gelap dan ini boleh membahayakan dirinya sendiri. – MalaysiaGazette