Home Nasional Kenakan tindakan maksimum kepada ejen umrah menipu

Kenakan tindakan maksimum kepada ejen umrah menipu

KUALA LUMPUR – Persatuan Egen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mahu hukuman maksimum dikenakan ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam melakukan penipuan umrah.

Presidennya, Datuk Hamzah Rahmat berkata, langkah itu bertujuan untuk mengelakkan ejen-ejen yang tidak bertanggungjawab menipu orang ramai.

“Jika ada bukti menunjukkan terdapat penipuan, mereka perlu didakwa dan dikenakan hukuman maksimum,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berurusan dan membeli pakej umrah daripada ejen pelancongan berdaftar yang dilesenkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan bukan dengan syarikat-syarikat yang tidak berlesen atau individu.

Hamzah yang sedih dengan berita-berita penipuan jemaah umrah berkata, tidak ada pakej umrah yang murah.

Kebanyakan mangsa penipuan ini percaya mereka boleh mendapat pakej yang lebih murah daripada RM4,900 bagi pakej asas.

Bagaimanapun, apabila mereka menyedari ditipu, semuanya terlewat.

Sebagai contoh, katanya, ada penipuan yang menawarkan pakej RM3,000 percaya mereka boleh mendapat penjimatan RM1,900. Tetapi akhirnya mereka kehilangan kesemua RM3,000 yang dibayar.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan jika ada pihak yang mahu memberi subsidi pakej umrah, mereka boleh bekerjasama dengan MATTA.

“Dengan cara ini jemaah dapat mengerjakan ibadah dengan tenang,” ujarnya sambil berharap orang ramai mengambil ikhtibar penipuan pakej murah yang berlaku kepada beberapa kumpulan jemaah. – MalaysiaGazette