Ganja seberat satu gram hanya dijual dengan harga serendah RM2 untuk menarik pembelian dalam kalangan remaja. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ganja seberat satu gram hanya dijual dengan harga serendah RM2 untuk menarik pembelian dalam kalangan remaja.

Seorang remaja yang dikenali sebagai Iqbal, 17, yang sedang menerima pemulihan memberitahu, penurunan harga membolehkan remaja membeli dadah dengan hanya menggunakan duit saku yang diberikan ibu bapa.

Katanya, harga ganja dalam kuantiti kecil hanya dijual dengan RM2 iaitu lebih murah daripada burger dan pembeli layak mendapat diskaun jika membeli secara pukal.

China Press melaporkan, penurunan harga dadah melibatkan pelbagai jenis dadah termasuk pil ekstasi, pil kuda dan ganja.

Pil ekstasi yang sebelum ini agak mahal telah mengalami penurunan harga kepada antara RM25 hingga RM35 sebiji.

Iqbal mengaku dia ditahan kerana membeli pil ekstasi manakala kawannya membeli syabu yang lebih mahal iaitu kira-kira RM70 satu gram.

“Ramai remaja terjerumus dengan dadah kerana berhibur di pusat-pusat hiburan malam.

“Ada juga yang diperkenalkan kepada dadah semasa berada di kolej atau kafe siber,” kata Iqbal.

Menurutnya, ada pengedar yang sanggup menyediakan perkhidmatan penghantaran dadah ke rumah penagih.

Sumber polis pula berkata, usaha untuk memerangi dadah telah memberi tamparan kepada sindiket dan memaksa mereka menurunkan harga dadah untuk menggalakkan pembelian. – MalaysiaGazette