Projek infra rakyat bertaraf dunia seumpama itu perlu disegerakan walaupun projek MRT2 akan siap sepenuhnya pada 2024 dan akan disusuli dengan MRT3 pada 2027.

KUALA LUMPUR – Kiraan Rafizi Ramli ke atas kos projek Transit Aliran Massa (MRT) “tak realistik”, “amatur” dan ada “kesilapan besar”, kata pasukan komunikasi strategik BN.

Dalam satu kenyataan, pasukan Barisan Nasional itu menjawab kenyataan terbaharu Naib Presiden PKR yang mendakwa kos Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) 2.5 kali lebih mahal daripada Laluan 9 MRT Seoul, Korea Selatan.

Semalam, Rafizi mendakwa panjang Laluan 9 MRT Seoul perlu dianggap 112.5km dan bukannya 37.5km kerana ia dibina di bawah tanah, maka kos pembinaan laluan itu 3 kali ganda lebih mahal berbanding laluan MRT bertingkat.

Mematahkan dakwaan itu, pasukan BN berkata Laluan 9 MRT Seoul tidak sepenuhnya di bawah tanah dan stesen Gaehwa di laluan itu berada di permukaan.

“Sebenarnya, Laluan 9, iaitu laluan kesembilan dalam sistem MRT Seoul, mempunyai banyak stesen yang berkongsi laluan lalu mengurangkan kos projek Laluan 9 itu,” kata kenyataan yang disiarkan portal FMT.

Tambahnya, Rafizi juga mengabaikan kos penerowongan turut bergantung kepada geologi.

“Misalnya, Laluan 9 terletak sepanjang tebing selatan Sungai Han di mana sebahagian besar penerowongan melalui pasir lembut terpadat, berbeza dengan granit keras dan batu kapur Kuala Lumpur,” kata mereka, menjadikan pembinaan itu lebih murah dan cepat.

“Terdapat juga pertimbangan ekonomi skala memandangkan kos terowong bawah tanah yang pendek tetapi banyak lebih mahal bagi setiap kilometer berbanding terowong yang panjang dan berterusan.”

Pasukan itu berkata Rafizi terus menggunakan RM28 bilion sebagai kos MRT-SBK mungkin kerana mahu memasukkan bayaran perundingan yang didakwa bernilai RM7 bilion, walaupun MMC-Gamuda mengesahkan bayaran khidmat cuma RM750 juta.

“Itu cuma sesetengah andaian salah yang menunjukkan formula Rafizi mengelirukan dan tidak boleh dilaksanakan.”

“Hakikatnya, setiap kilometer Laluan 9 MRT Seoul lebih mahal berbanding Laluan MRT-SBK – bukan sebaliknya seperti yang didakwa Rafizi sebelum ini.”

Pasukan itu menggesa Rafizi supaya tidak lagi “memalukan diri sendiri” kerana kesilapanya sudah berulang kali terdedah.