Mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan ditempatkan di sebuah sekolah

KUALA LUMPUR – Seramai 6,839 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan kawasan mereka dinaiki air akibat banjir.

Sehingga jam 1 tengah hari ini, Kelantan merekodkan mangsa pemindahan seramai 4,906 orang, manakala Terengganu 1,933 orang.

Keadaan paras air di beberapa sungai utama di Kelantan juga dilaporkan semakin naik dengan tiga daripadanya melepasi paras bahaya, diikuti dua melepasi paras amaran dan satu tempat menyukat banjir melepasi paras amaran.

Sungai utama yang mencatat paras bahaya ketika ini ialah Jambatan Guillemard di Kuala Krai 17.70 meter. Paras bahaya 16 meter, diikuti Sungai Golok di Jenob 23.92 meter (bahaya 23.50 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang 10.37 meter (bahaya 9 meter).

Dua sungai yang melepasi paras amaran pula, Sungai Lebir di Tualang 32.58 meter. Paras amaran 31 meter, manakala Tangga Krai di Kuala Krai 23.71 meter (amaran 22.50 meter).

Bagaimanapun, tempat menyukat banjir di Tambatan Diraja, Kota Bharu sehingga kini melepasi paras berjaga-jaga iaitu 3.63 meter (berjaga-jaga 3 meter).

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Datuk Seri Shahidan Kassim, sebanyak 84 pusat pemindahan iaitu 54 di Kelantan dan 30 di Terengganu telah dibuka sejak 31 Disember lalu.

Katanya, beliau bersama Jawatankuasa Bencana Negara berada di dua negeri itu untuk memantau dan memastikan kerja menyelamat serta memindahkan penduduk di kawasan dinaiki air berjalan lancar.

“Bermula jam 10 pagi (semalam) hingga sekarang kami terus memantau banjir di Kelantan dan Terengganu. Hujan berterusan secara berkala.

“TPM (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) meminta kami buat yang terbaik,” katanya dalam status Facebook beliau, semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalayia) meramalkan hujan berterusan di negeri Johor (daerah Mersing), Pahang (daerah Rompin, Pekan dan Kuantan, manakala Kelantan pula (daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang) dan Terengganu dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan turut melaporkan, enam jalan kampung sekitar daerah Tumpat ditutup kepada semua kenderaan berikutan dinaiki air.

Jalan atau laluan yang telah ditutup ialah Jalan Kubang Sawa – Teluk Jering – Bendang Pak Yong dan antara Jalan Bendang Pak Yong – Kajang Sebidang – Jalan Pohon Nibong – Jalan Pisau Raut – Jalan Atas Kok Simpangan – Jejulok.

Empat sekolah ditutup di jajahan Tumpat pula melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, SK Bendang Pak Yong, Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda (Kajang Sebidang) dan SK Simpangan. – MalaysiaGazette