SEOUL – Harga minyak Amerika Syarikat meningkat pada hari pertama dagangan 2017, disokong perjanjian pengurangan bekalan minyak mentah oleh OPEC dan bukan OPEC yang bermula hari ini.

Penanda aras minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 0.7 peratus kepada AS$54.07 pada 0010 GMT, tidak jauh daripada AS$54.51 dicapai pada 12 Disember lalu.

Brent belum didagangankan selepas naik sebanyak AS$0.68 setong kepada AS$56.82 setong pada Jumaat lalu.

Pasaran minyak itu masih tutup pada hari Isnin kerana cuti awal tahun.

Mulai 1 Januari, OPEC dan bukan OPEC akan memulakan perjanjian pengeluaran bekalan minyak sebanyak 1.8 juta tong sehari.

Bulan ini akan menjadi petunjuk sama ada perjanjian ini akan dilaksanakan.

Libya, salah satu daripada dua negara anggota OPEC yang dikecualikan daripada perjanjian itu telah meningkat pengeluarannya kepada 685,000 tong sehari pada Ahad.

Kenaikan itu daripada sekitar 600,000 sehari pada bulan Disember, menurut National Oil Corporation.

Antara negara-negara anggota OPEC itu, Oman telah memaklumkan kepada pelanggannya untuk mengurangkan peruntukan sebanyak 5.0 peratus pada bulan Mac.

Rusia, negara bukan OPEC juga telah bersedia untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 300,000 tong sehari pada separuh pertama 2017 sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan lebihan bekalan dan mengimbangi semula pasaran itu. – MalaysiaGazette