Home Ekonomi Kedudukan ringgit mencabar sehingga suku pertama 2017

Kedudukan ringgit mencabar sehingga suku pertama 2017

KUALA LUMPUR – Kejatuhan ringgit sehingga mencecah paras terburuk apabila melepasi RM4.502 berbanding dolar pada pukul 12.20 tengah hari tadi berikutan kenaikan ketara mata wang Amerika Syarikat (AS) pada kedudukan tertinggi sejak tahun 2002.

Peningkatan ketara itu selepas sektor pengilangan AS merekodkan pertumbuhan kukuh, selain data pekerjaan yang semakin pulih.

Penganalisis pasaran, Nazzary Rosli berkata, tekanan yang dihadapi ringgit pada masa sekarang memang sudah dijangka dan dimaklumkan oleh pasaran sebelum itu.

Tambah beliau, pasaran meramalkan ringgit mencecah RM4.500 dan itu adalah paras rintangan kepada ringgit.

Sama ada ringgit akan terus tertekan bergantung apa yang berlaku kepada AS – termasuk kedudukan ekonomi, hala tuju dan dasar-dasar Donald Trump, katanya.

“AS banyak mempengaruhi kedudukan mata wang global khususnya bagi pasaran baharu muncul.

“Pasaran menjangkakan berlaku perubahan dalam ekonomi AS selepas Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS.

“Seperti yang kita ketahui pasaran bon terutama sekuriti kerajaan dipegang oleh pelabur-pelabur asing. Dengan dasar perlindungan ekonomi AS oleh Trump, penganalisis pasaran yakin beliau akan meneruskan usaha-usaha untuk mengembalikan kekuatan ekonomi negara itu.

“Ia termasuklah dengan menaikkan kadar faedah. Inilah antara faktor yang membimbangkan kita kerana langkah itu akan mengakibatkan aliran keluar pelaburan asing ke negara itu,” katanya.

Dalam situasi yang mencabar ini pun, menurutnya, ringgit berada dalam keadaan kukuh kerana berlegar sekitar RM4.900 dalam beberapa minggu ini dan tidak melepasi RM4.500 sehingga hari ini.

Nazzary berkata, kejatuhan ringgit memang tidak boleh dielakkan, lantaran itu orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi buruk tentang ringgit kerana ia tidak membantu prestasi mata wang tersebut.

Sebaliknya, ia akan memberi peluang kepada spekulator-spekulator mata wang untuk terus menjejaskan prestasi ringgit.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperkukuh semula peraturan sedia ada untuk menghalang pemudahan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) bagi ringgit.

Ringgit kekal sebagai mata wang yang tidak diurusniagakan pada peringkat antarabangsa, sekali gus apa-apa urus niaga luar pesisir seperti NDF bagi ringgit adalah tidak diiktiraf. Setakat ini, tidak ada perubahan dalam Pentadbiran Peraturan Pertukaran Asing (FEA) dan langkah baharu diperkenalkan.

Nazzary optimis ringgit akan pulih dan berada pada paras lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat selepas kadar faedah dan dasar Trump semakin terkawal.

Katanya, selepas melalui tempoh mencabar pada suku pertama tahun ini, nilai ringgit dijangka berlegar pada paras sekitar 4.20 hingga 4.30 berbanding dolar. – MalaysiaGazette