Home Utama Keluarga bimbang Eaglexpress tidak bawa pulang pekerja

Keluarga bimbang Eaglexpress tidak bawa pulang pekerja

KUALA LUMPUR – Keluarga kakitangan Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. (Eaglexpress) mula mempersoalkan mengapa syarikat penerbangan itu masih gagal membawa kakitangan balik ke Kuala Lumpur sedangkan ia sudah tidak beroperasi di Jeddah.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendakwa pejabat mereka dihujani panggilan oleh keluarga-keluarga kakitangan yang bimbang dengan nasib anak-anak mereka.

Apatah lagi, visa kakitangan sudah tamat tempoh.

Malah ada keluarga yang mendakwa anak mereka tidak menjalani kehidupan sempurna di sana kerana tidak mendapat makanan yang cukup.

Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin yang memandang serius masalah itu akan memanjangkan isu tersebut kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia agar dakwaan keluarga kakitangan Eaglexpress di Jeddah disiasat.

Katanya, isu itu perlu diambil perhatian sewajarnya ia melibatkan warga Malaysia yang terkandas di sana tanpa diketahui puncanya.

“Apabila ada keluarga yang mula menghubungi NUFAM bermakna mereka juga bimbang dengan nasib anak-anak mereka di Jeddah. Ada juga bapa yang mengadu pada NUFAM anaknya tidak makan di sana.

“Mengapakah Eaglexpress masih gagal membawa kakitangannya pulang ke Malaysia jika pekerja-pekerja tersebut tidak lagi bekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan terdapat kira-kira lebih 50 kakitangan pekerja Eaglexpress masih di Jeddah.

Sumber dalaman memaklumkan mereka sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur sebelum Tahun Baru tetapi penerbangan ditangguhkan kononnya tidak mendapat permit perlepasan.

Kemudian, penerbangan membawa mereka dikatakan pada 1 Januari lalu tetapi masih tertangguh kerana sebab yang sama walapun Eaglexpress didakwa telah mendapat permit pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ismail juga meminta keluarga yang tidak berpuas hati dengan permasalahan yang berlaku supaya tampil membuat aduan kepada kesatuan itu.

Tegasnya, keluarga kakitangan pasti tidak akan mencampuri dalam urusan kerja jika para pekerja di sana mendapat penjelasan apa yang berlaku di Jeddah.

“Sudahlah tidak dapat gaji asas, keluarga mana yang tidak bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette