Othman Mustapha

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghargai keprihatinan pihak media dan masyarakat awam berhubung isu halal di negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha menasihatkan pihak berkenaan agar merujuk terlebih dahulu kepada pihak berwajib sekiranya sesuatu polemik berkaitan isu halal itu tular di laman sosial bagi mengelak kekeliruan.

Menjawab laporan dua media atas talian yang menyiarkan berita bertajuk; Kek Halal: McDonald’s mohon maaf, polisi tetap diteruskan, beliau berkata, polisi yang dibangunkan rantaian makanan popular itu adalah inisiatif baik serta komitmen tinggi syarikat dalam usaha pengawalan jaminan halal di semua premisnya berteraskan Sistem Jaminan Halal.

“Kita berpandangan bahawa polisi yang dibangunkan oleh pihak McDonald’s adalah inisiatif yang baik serta komitmen yang tinggi syarikat dalam usaha pengawalan jaminan halal di semua premis McDonald’s berteraskan Sistem Jaminan Halal,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Othman berkata, JAKIM mengambil maklum laporan yang disiarkan dua pihak media itu yang bertarikh pada 31 Disember 2016 dan 1 Januari lalu.

Ujar Othman, pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah berpandukan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) (Semakan Ketiga) 2014 dan juga MS 1500:2009 – Makanan Halal – pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan – Garis Panduan Umum yang dibangunkan bersama pihak industri, pengguna serta pakar pemakanan.

“Ianya mengambil kira keseluruhan rantaian produk dengan pendekatan Halalan Toyyiban yang membawa maksud halal lagi suci, berkualiti dan selamat.

“Manual ini menggariskan 13 keperluan umum pensijilan yang antara lain menyentuh berkaitan Pensijilan Halal bagi premis makanan,” katanya.

Umumnya, beliau berkata, polisi seumpama itu bukan sesuatu di luar kebiasaan sebagaimana polisi yang sudah menjadi amalan di kebanyakan premis makanan berangkai mengamalkan polisi diterima oleh masyarakat. – MalaysiaGazette