SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menafikan bekas pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Datuk Bahri Mohamad Zain bersara awal kerana kekecewaan berhubung kes siasatan SRC International (SRC).

Dalam satu kenyataan rasmi petang semalam, SPRM menyatakan Bahri memohon persaraan pilihan atas kehendaknya sendiri enam bulan lalu.

“SPRM sudah menghubungi beliau dan Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal tersebut.

“Permohonan yang dibuat itu selari dengan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mana seseorang pegawai kerajaan yang ingin bersara awal perlu membuat permohonan sekurang-kurang 6 bulan sebelum tarikh persaraan,” katanya.

Kelmarin, Bahri menerusi sebuah portal kononnya mendakwa beliau memilih bersara awal kerana kecewa dengan kes siasatan SRC yang tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Bahri memberi kenyataannya menerusi aplikasi Whatsapp.

Berita rasa tidak puas hati Bahri itu dikatakan menjadi daya penarik kepada parti pembangkang sehingga mendorong Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub mengalu-alukan kenyataan Bahri.

Malah PAN bersedia memberi ruang dan peluang kepada Bahri di platform parti bagi menyatakan rasa tidak puashati itu kepada orang ramai.

Terbaharu, Bahri dalam satu kenyataan kepada satu media hari ini menafikan dakwaan SPRM dan bakal mengeluarkan kenyataan berhubung persaraannya tidak lama lagi.-MalaysiaGazette