Irwan Seregar Abdullah

PUTRAJAYA – Kejatuhan nilai ringgit dan kemerosotan ekonomi merupakan persepsi negatif yang digembar-gembur oleh segelintir pihak, justeru ia mesti diperbetulkan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, persepsi sama turut direka melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pentadbiran perdana menteri.

Jelas beliau, hakikatnya ekonomi negara masih kukuh bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ada segelintir kumpulan kecil yang buat bising di media sosial dan mereka berjaya membuat persepsi negara sedang berdepan masalah.

“Namun realitinya orang ramai masih pergi ke restoran dan membeli-belahdi pasar raya,” katanya dalam sidang media khas Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Irwan menegaskan, 2016 merupakan tahun yang mencabar buat Malaysia namun kerajaan berjaya mengharungi segala rintangan.

Jelasnya, berdepan tahun 2017, kerajaan telah bersiap sedia dengan kesan perkembangan ekonomi dunia terutama di Amerika Syarikat.

“Ekonomi negara masih baik dan kekal di landasan yang betul untuk pertumbuhan antara 4.5 dan 5 peratus dan menyasarkan defisit pada 3.1 peratus.

“Kerajaan berada di landasan yang betul untuk mencapai kerana kita mempunyai banyak program untuk dilaksanakan pada tahun 2017,” katanya. — MalaysiaGazette