Pegawai Pendakwa ASP V. Nara memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. - Gambar hiasan
PETALING JAYA – Gara-gara menumbuk mata tunangnya, seorang anggota polis bantuan sebuah universiti awam didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Azhar Mat Yusof, 33, setelah dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Audrey Anne Chua Wei Lian, 20, dengan cara menumbuk mata sebelah kanan wanita itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 1-2-3, Pangsapuri Lagoon Perdana, Jalan PJS 9/1, Bandar Sunway, di sini pada 4 pagi, 31 Dis tahun lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP V. Nara memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

“Hukuman yang setimpal harus diberikan mengambil kira faktor tertuduh merupakan seorang anggota polis bantuan dan dia seharusnya lebih bijak mengawal emosi,” katanya.

Azhar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia masih menanggung dua anak di kampung dan telah insaf serta tidak akan mengulangi kesalahan sama.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast