Prosedur penggantian pekerja asing dipendekkan selepas mendapat aduan daripada pihak majikan.
KUALA LUMPUR – Para majikan bersedia untuk memotong bonus pekerja jika isu pembayaran levi pekerja asing gagal diselesaikan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan menyatakan perkara itu selepas kerajaan mengumumkan bahawa tanggungjawab pembayaran levi akan dialihkan daripada pekerja asing kepada majikan.

Katanya, majikan mungkin menyelaraskan semula bayaran bonus malahan memotong bonus semua pekerja dengan nilai yang sama dengan setengah bulan gaji.

Menurutnya, walaupun jumlah bayaran bonus telah ditetapkan pada akhir tahun tetapi ada syarikat yang memilih pembayaran dua kali iaitu pada akhir Disember dan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, banyak syarikat yang memutuskan bayaran bonus pada kadar 2.5 bulan telah menjelaskan bayaran pertama dengan kadar satu bulan gaji pada Disember tetapi bakinya sebanyak 1.5 bulan gaji akan dijelaskan sebelum Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, bayaran bonus kedua itu biasanya adalah dalam bentuk insentif.

“Disebabkan keadaan yang mendesak, majikan tiada pilihan melainkan untuk mengurangkan bonus,” katanya kepada China Press.

Shamsuddin berkata, hasil banyak syarikat telah merosot sebanyak 30 hingga 40 peratus pada 2016 manakala kos pengeluaran meningkat.

“Isu pembayaran levi hanya mengeruhkan keadaan apatah lagi ramai meramal bahawa kelembapan ekonomi akan berterusan hingga 2020,” katanya.