Kes jemaah haji yang terkandas ekoran tidak memperoleh visa telah selesai sepenuhnya.

GEORGE TOWN – Tabung Haji (TH) akan memohon untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 8,000 jemaah haji pada tahun ini daripada Kerajaan Arab Saudi.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kuota jemaah haji yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi ketika ini ialah 22,320 setahun.

“Kami berharap dapat menambah bilangan tersebut sehingga 30,000 berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan penduduk ketika ini sebanyak 30 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Misi Keamanan Ke Myanmar ‘Food Flotilla For Myanmar’ di sini hari ini.

Menurutnya, beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta beberapa wakil TH akan ke Arab Saudi pada 25 Jan ini untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Kami akan berjumpa dengan Raja Salman (Raja Arab Saudi) dan Timbalan Putera Mahkota Mohammed Nayef serta Menteri Haji Saudi (Arab Saudi) untuk berbincang berhubung isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez memberitahu jika permohonan kuota tambahan itu berjaya, pihaknya akan mempertimbangkan satu mesyuarat bersama Anggota Lembaga TH untuk turut meningkatkan kuota jemaah haji bagi golongan muda.

— BERNAMA