Home Utama Harga ikan, sayur melonjak

Harga ikan, sayur melonjak

KUALA LUMPUR – Harga ikan dan sayur-sayuran didakwa melonjak kononnya disebabkan musim tengkujuh di kebanyakan kawasan di Semenanjung.

Menjelang awal tahun ini, kebanyakan harga ikan naik mendadak dan sejak seminggu lalu kenaikan sama dirasai pada harga sayur-sayuran.

Pemilik kedai runcit Berth di Sungai Besi berkata, harga ikan dan sayur naik hampir 40 peratus kerana bekalan semakin terhad disebabkan musim tengkujuh.

Katanya, ikan kembung mencecah RM16 sekilogram, ikan cencaru RM12 sekilogram dan ikan selar kecil RM9.90 sekilogram.

Manakala ikan merah sudah antara RM38 hingga RM39 kilogram.

“Sekarang harga semua naik, kita peniaga kedai runcit lagi susah sebab tidak tahu macam mana hendak letak harga,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di pasar raya Hero pula mendapati kebanyakan sayur-sayuran naik antara 15 hingga 20 peratus.

Harga cili merah antara RM11 hingga RM12 sekilogram, bendi RM9 hingga RM10 sekilogram, tomato RM4 sekilogram, lobak merah RM6 sekilogram.

Kangkung dan bayam antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram, timun RM8 sekilogram dan kobis RM6 sekilogram.

Harga udang (kulit keras) pula dijual sekitar RM35 sekilogram manakala sotong pula lingkungan RM16 sekilogram.

Seorang pembantu pasar raya itu memberitahu, setakat ini harga ikan talapia (hitam) masih kekal iaitu RM6.90 sekilogram.

Harga ikan tongkol juga sama dalam RM7 sekilogram.

MalaysiaGazette dimaklumkan harga ikan dijangka meningkat menjelang sambutan Tahun Baru Cina terutama bagi ikan bawal, ikan tenggiri dan ikan merah.

Setakat ini, harga ayam masih terkawal.

Harga ayam belum diproses dijual sekitar daripada RM6.90. Bagaimanpun ayam yang dibersihkan dijual lebih antara RM1 hingga RM1.20 daripada ayam belum diproses. – MalaysiaGazette